Teks: Noorhayati Abdul Rahim
Baru-baru ini saya mengikuti rombongan sekolah ke Pulau Pinang pada 14 sehingga 16 November 2018. Saya bawa bersama hero saya nombor tiga dan empat.
Di sini saya catatkan memori perjalanan kami sebagai kenang-kenangan masa akan datang in shaa Allah. Sebenarnya Pulau Pinang bukanlah pertama kali saya jejak. Negeri ini saya jejak pertama kali apabila saya masuk matrikulasi pada tahun 2001 di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang iaitu di Kepala Batas. Ia masih di bawah negeri Pulau Pinang walaupun tidak terletak di Pulau.
Pada Januari 2009 saya kembali ke Pulau Pinang menyambung pelajaran dengan mengambil Diploma Perguruan (KPLI) di Institut Pendidikan Guru Pulau Pinang selama 11 bulan. Setahun selepas itu saya kembali lagi menghadiri majlis perkahwinan sahabat baik saya di sana.
Kembali kepada rombongan saya bersama murid-murid Khas kami. Kami bertolak dari sekolah seawal 8 pagi menuju ke Pulau Pinang. Singgah di R & R Ayer Keroh kerana kami dapat tajaan daripada pihak KFC (tapau). Meneruskan perjalanan dan kami singgah di R & R Seremban untuk sarapan pagi dan makan tengahari serta solat di R & R Sungai Perak. Terima kasih pada seorang pemuda yang membantu saya menurunkan stroller anak menggunakan eskalator. Kebiasaan encik suami yang lakukan, tetapi kali ini dia tidak turut serta.
Kami tiba di Pulau Pinang dalam pukul 7 petang dan cuaca di sana hujan sederhana. Kami menginap di
Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (Westlands) dengan bayaran RM5 per kepala. Alhamdulillah Dorm di sini sangat selesa dan bersih.
Bersiap-siap dalam pukul 9 malam kami mula jalan-jalan cari makan. Kami makan malam di
Warung Tok Mat Mee Udang @Tanjung Bungah. Bila saya google rupenya tempat ini sangat cantik sebab tepi pantai betul. Kami pergi pada waktu malam, memang tidak nampak apa pun. Kedainya terperosok ke dalam, kalau tiada dalam google maps memang kami tidak tahu. Nak masuk ke sana dalam hujan renyai dengan melalui beberapa lopak air, kami tidak sangka kedai ini popular juga. Malam yang kami sampai, makanan memang lambat sampai sebab seorang tukang masak sahaja yang memasak, tetapi jujurnya Mi Udang di sini sangat sedap dengan harga RM15 semangkuk. Kawan-kawan yang makan pelbagai masakan lain turut mengatakan masakkannya sedap. Jadi berbaloilah kami tunggu lama. Selesai makan kami pulang dan berehat.
Esoknya seawal 7 pagi kami telah keluar sarapan. Saya tidap pasti nama kedainya tapi kami memilih gerai di tepi jalan sahaja. Selesai sarapan kami bergerak ke
Bukit Bendera Pulau Pinang. Rezeki kami bersama anak-anak istimewa dapatlah kami masuk melalui 'Fast Lane' tanpa perlu menunggu lama. Sampai di puncak kami hanya menikmati pemandangan indah bandar Pulau Pinang. Ada juga pertunjukan burung dan ular. Terdapat cafe sekiranya ingin menghilangkan dahaga dan lapar. Kami berkesempatan menaiki BUGGY iaitu RM25 untuk satu BUGGY. Merasalah dibawa pusing-pusing sekitar Bukit Bendera. Di sini ada satu pakej THE HABITAT untuk masuk perlu bayar RM47 tapi kami tidak ambil pakej ini memandangkan ingin menjimatkan masa lagi pun kami diberitahu perlu berjalan jauh juga. Lain kali sekiranya kami sampai ke Penang lagi kami akan cuba ambil pakej ini pula,
Bergambar di Bukit Bendera
Menaiki Buggy
Dalam kereta kabel
Turun daripada Bukit Bendera kami terus menuju ke
Wonderfood Museum Penang. Menarik sungguh Wonderfood Museum Penang ini dipenuhi dengan replika makan 'giant'. Seronokla bila bawak anak-anak memang teruja semua nak mengambil gambar dengan pelbagai jenis makanan. Ada satu sudut bilik yang dijaga oleh dua orang staff. Menurut staff di situ makanan dalam bilik itu disalut dengan emas yang betul sebab itu bilik tersebut ada pintu berkunci. Ia dilengkapi dengan CCTV lagi.
Pelbagai pilihan makanan manis, yummy Roti Canai gergasi
Tu dia durian dan kuih muih gergasi pun ada di sini.
Pelbagai lagi makanan yang terdapat di sini
Seronok si bujang nombor 3 jadi model.
Lai-lai ada yang nak beli ikan Haish gagahnyer hero mama nih
Rasa habis tak makan tu Nah sotong kurita telan
Iyarrrkkk Hero no 4 nyenyak tidur
Satay Gergasi Lots of food
Selesai menerokai Wonderfood Museum ini, kami menumpang makan di kedai makan seorang yang berhati mulia. Kami tumpang makan yang mana makanan telah dibeli secara bungkus dan dihantar oleh seorang runner. Tuan kedai ini sangat baik, bagi kami makan dan belanja setiap minuman tambahan yang kami order. Hanya Allah mampu membalas kebaikan beliau.
Kami sambung perjalanan kami dengan pergi ke
Magic World Penang melangkah ke alam yang penuh misteri. Setibanya di sana kami dihidangkan dengan Persembahan dari staff di sana. Dari pintu masuk lagi kami dah merasai kuasa magiknya, melalui lorong-lorong bercermin yang menyebabkan kami terhantuk ke cermin berkali-kali sebelum menemui jalan keluar. Di tingkas atas ada kedai Aiskrim bagi sesiapa yang ingin merasi desert di situ. Tapi kami tidak berkesempatan untuk menikmatinya. Ada pelbagai ruang untuk kami bergambar bagi merasai sama dunia magik tersebut.
Ini jer gambar yang sempat disnap
Selesai ke Magic World kami merancang untuk berjalan kaki ke
Street Art tetapi cuaca tidak mengizinkan, hujan mula turun. Kami pun membatalkan hasrat kami dan menunggu bas datang menjemput kami untuk ke
McDonald Birch House. Makan petang kami ditaja oleh McD cawangan ini. Cantik sangat rekaan dalaman bangunan McD ini dan luas serta selesa untuk anak-anak murid kami. Terima kasih pihak McD kerana belanja kami.
Selepas selesai mengisi perut kami singgah ke Perangin Mall untuk solat di suraunya. Keadaan masa ini hujan lebat. Selesai solat kami bersiar-siar di dalam Mall mencuci mata. Dalam pukul 7 kami sambung perjalanan kami ke
Char Kuey Teow Parit/longkang di Bayan Lepas. Kalau ikut review di google memang sedap, tetapi bila merasai sendiri bagi saya biasa sahaja. Tapi selera masing-masingkan tidak sama. Mungkin tukang masak tak sama kot malam tu, allahua'lam.
Selesai makan kami terus pulang ke penginapan kami untuk berehat.
Hari ketiga iaitu hari terakhir kami di Pulau Pinang kami ke Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Pulau Pinang. Subhanallah banyak sangat benda baru kami belajar di sini. Ada 141 murid di sini. Antara perkara baru kami belajar, sekolah ini ada bilik untuk setiap matapelajaran. Bila ikut jadual waktu guru matapelajaran hanya berada di biliknya dan murid yang datang ke bilik-bilik mengikut matapelajaran pada jadual waktu. Waktu Nilam mereka di perpustakaan adalah waktu petang dan diselia oleh Pembantu Pengurus Murid. Bak cakap gurunya, sekolah ini bagaikan MRSM Pendidikan Khas. Muridnya hadir dari seluruh pelusok negara. Majoriti tinggal di asrama. Pihak sekolah juga menyediakan sarapan mi goreng yang sedap buat kami.
Bergambar bersama guru-guru SM Pendidikan Khas Pulau Pinang
Dua sehingga 3 jam juga kami di sekolah ini. Selesai lawatan penanda aras kami bergerak ke
Restoran Nasi 7 Benua di Sungai Ara untuk makanan tengahari. Unik betul restoran ini, dalam satu pinggan ada 7 jenis nasi iaitu nasi putih, nasi lemak, nasi tomato, nasi lamuni, nasi minyak, nasi kacang dal dan nasi hujan panas. Lauk kita boleh pilih untuk selera kita. Harganya tidak silap saya rm6.50 siap dengan air teh O ais. Kalau datang ke Pennag bolehla cuba makan nasi 7 benua ini.
Selesai mengisi perut kami menuju ke
Jeti untuk memberikan pengalaman kepada murid kami merasai naik Feri untuk ke seberang sana. Kami solat siap-siap sebelum menaiki feri. Tiba di Butterworth kami menaiki bas RapidPenang untuk ke Terminal Bas Butterworth di mana bas kami menanti. Seronok anak murid kami naik bas walaupun hanya seketika.
Bergambar dalam feri
Merasai pengalaman menaiki bas Rapid
Kemudian kami singgah ke
Kedai Jeruk Madu Pak Ali untuk membeli jeruk yang memang terkenal di Pulau Pinang sebagai ole-ole buat orang Melaka. Di sini selesa kita boleh singgah untuk solat dan ke tandas. Selesai membeli belah kami bergerak pulang ke Melaka dan berhenti makan malam di R & R Tapah. Kami tiba di Melaka hampir jam 2 pagi. Alhamdulillah moga ada lagi rezeki kami untuk ke Pulau Pinang.
Jom ke kite bercuti ke Pulau Pinang.
Ingin mencuba produk Shaklee?
http://www.wasap.my/60173737174/shaklee