Teks & gambar: Facebook Tadabbur Centre
(NOTA KULIAH ONLINE]
MENGURUS EMOSI KETIKA DILANDA MUSIBAH: TELADAN DARI KISAH NABI MUSA A.S
DR AZRUL AZLAN
AHAD , 29 MAC 2020
VIDEO: https://www.facebook.com/TadabburCentre/videos/212091350021505/
____________________________
TAKUT TUHAN VS TAKUT KUMAN
1. Tidak dinafikan bahawa keyakinan yang tinggi kepada Allah swt memberikan kekuatan kepada manusia untuk mengimani bahawa Allah swt akan membantu kita . Akan tetapi Allah swt mengajar kita agar mempunyai suatu strategi dan waspada apabila berhadapan suatu bahaya yang menimpa kita.
2. Hal ini Nabi saw sendiri berhijrah ke Madinah menggunakan jalan rahsia menuju ke sana . Baginda Nabi saw juga memakai sut baju perisai di dalam medan perang sebagai suatu bentuk waspada terhadap bahaya.
3. Perkataan “istianah” (اِستِعَانَة) di dalam surah al fatihah ayat lima itu sendiri mengandungi erti konsep tawakkal . Untuk mendapat perlindungan dari Allah , kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Demikian yang berlaku pada hari , kita diminta agar duduk di rumah supaya tidak bercampur dengan orang ramai yang boleh memungkinkan kita untuk dijangkiti virus Covid-19.
FAHAM SITUASI NABI MUSA DAN BANI ISRAEL
4. Di dalam surah Ibrahim ayat 6 , Allah menkhabarkan kisah Nabi Musa as dan bani Israel yang lari dari Firaun yang ingin membunuh mereka.
Allah swt berfirman :
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ أَنجَاكُم مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ ۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَاءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ (6)
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; dan kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu". (Ibrahim :6)
5. Berdasarkan ayat 6 surah Ibrahim, situasi yang dihadapi oleh Nabi Musa as dan bani Israel ialah :
a) Lari dari Firaun yang ingin membunuh mereka.
b) Berada di padang pasir yang panas terik dan tiada makanan.
6. Adapun situasi yang berlaku pada kita di musim wabak Covid-19 ialah :
a) “Lari” untuk berada di rumah dari dijangkiti Covid-19 yang boleh membunuh manusia
b) Berada di rumah tetapi tidak memperoleh pendapatan kerana tidak boleh bekerja.
7. Persamaan situasi yang kita hadapi sekarang dengan situasi Nabi Musa as adalah lari dari musibah yang besar menuju ke suatu musibah yang lebih kecil.
PENGURUSAN EMOSI KETIKA DILANDA MUSIBAH
POIN PERTAMA : TENANGKAN DIRI AGAR TIDAK PANIK
8. Perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi Musa as untuk mengurus emosi bani Israel berdasarkan ayat 6 surah Ibrahim adalah menenangkan keadaan diri mereka agar tidak panik dengan meminta mereka mengingati nikmat Allah swt yang telah dikurniakan kepada mereka sebelum ini.
9. Apabila kita melihat kembali surah al-kauthar, sebab surah ini diturunkan adalah bercerita mengenai Nabi saw yang kehilangan anak Baginda dalam keadaan dibantai oleh kaum musyrikin. Maka Allah memberi suatu panduan kepada Nabi saw untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan melihat seberapa banyak nikmat Allah swt yang telah dikurniakan .
10. Nikmat itu bukan sahaja datang dalam bentuk kesenangan akan tetapi juga hadir dalam bentuk selamat dari musibah yang besar. Oleh kerana itu Nabi Musa as di dalam ayat 6 surah Ibrahim meminta kaumnya agar ingat kembali nikmat Allah kepada mereka iaitu terselamat dari dibunuh Firaun dan tentera-tenteranya.
POIN KEDUA : FOKUS UNTUK MENCARI SOLUSI YANG DIHADAPI
11. Pada ayat 7 surah Ibrahim, Allah berfirman :
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ (7)
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim :7)
12. Di dalam ayat 7 surah Ibrahim, Allah memulakan ayat dengan perkataan “taazzana” (تَأَذَّنَ) yang membawa erti memberitahu. Perkataan ini mengandungi tiga unsur iaitu :
a) Pengumuman
b) Deklarasi
c) Mengajak orang lain melakukan sesuatu
13. Pengertian perkataan “taazzana” (تَأَذَّنَ) ialah memasang telinga dan mengenepikan segala yang bermain di fikiran kita.
14. Keadaan Nabi Musa as dan bani Israel ketika itu adalah
a) Berasa amat penat selepas melarikan diri daripada Firaun.
b) Berasa amat lapar kerana makanan tidak ada di kawasan itu.
c) Berada dalam keadaan yang sangat panas disebabkan mereka berada padang pasir yang kering kontang.
15. Apabila Allah menggunakan perkataan “taazzana” (تَأَذَّنَ) , maka Allah swt meminta agar mereka lupakan seketika apa yang mereka hadapi dan memasang telinga untuk dengar kepada apa yang disampaikan oleh Nabi Musa as.
16. Di dalam ayat ini , Allah menggunakan perkataan “rabbukum” (رَبُّكُمْ) . “Rabb” (رَبُّ) bukan membawa sekadar erti Tuhan akan tetapi ia juga membawa maksud pelindung, pendidik dan penjaga. Dalam konteks ayat ini , seolah – olah Allah ingin memberitahu bani Israel bahawa di saat itu Allah sedang menjaga mereka.
17. Nabi Musa as mengajar kita di dalam ayat ini agar fokus kepada apa yang kita miliki dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah dan tidak fokus kepada apa yang kita tiada.
18. Berdasarkan ayat ini juga , nasihat yang perlu diberikan kepada orang yang ditimpa musibah adalah agar bersyukur dan bukan bersabar kerana manusia yang tidak bersyukur biasanya sukar untuk bersabar.
19. Bagaimana untuk bersyukur:
a) Lihat orang yang lebih susah dari kita
b) Lakukan solat. Solat dimulakan dengan pujian kepada Allah di dalam surah al – fatihah . Semak kembali solat apabila sukar untuk bersyukur.
c) Sedar bahawa tiada satupun adalah milik kita kerana kesemuanya adalah kepunyaaan Allah swt (Rujuk surah al-baqarah ayat 156).
20. Di dalam surah al baqarah ayat 155 , Allah menyebut (بَشِّرِ الصَّابِرِينَ) yang membawa erti berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Perkataan (بَشِّرِ) membawa pengertian khabar gembira yang merpakan suatu bentuk hadiah buat orang yang bersabar.
POIN 3 : SYUKUR YANG DISUSULI DENGAN TINDAKAN UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH.
21. Di dalam ayat 7 surah Ibrahim, Allah menyebutkan syakartum (شَكَرْتُمْ) yang merupakan kata kerja. Signifikan pengunaan kata kerja disini , manusia perlu bertindak setelah bertenang dan memberi fokus terhadap penyelesaian masalah.
22. Di sini juga mengandungi konsep tawakkal kepada Allah swt. Sekiranya kita ingin dapat apa yang diberikan Allah swt, kita perlu bertindak.
23. Menariknya , perkataan laaizaddanakum (لَأَزِيدَنَّكُمْ) merupakan feel mudhari’ (kata kerja kala kini) yang menunjukkan kepada sesuatu yang berterusan. Hal ini menunjukkan bahawa selagi kita bersyukur dan bertindak maka Allah akan tambahkan nikmat kepada kita.
POIN 4 :MUHASABAH DIRI
24. Di dalam ayat yang sama, ayat selepas (لئِن كَفَرْتُمْ ) tidak datang dalam bentuk kata kerja, tetapi dalam bentuk pernyataan bahawa azabnya amat keras.
25. Ia merupakan mesej bahawa Allah beri peluang kepada kepadamanusia yang kufur untuk kembali kepada bersyukur. Oleh itu tidak dinyatakan kesan di dalam ayat tersebut kepada orang yang kufur.
26. Kufur bukan sahaja bermaksud kufur iman tetapi boleh membawa pengertian :
a) Tidak bertindak.
b) Tidak berasa puas.
c) Tidak berterima kasih.
d) Melihat suatu perkara dari sudut yang negatif sahaja
e) Memandang kehidupan dalam bentuk yang suram.
#stayathome
#tadabburalquran
#alquranuntuksemua
No comments:
Post a Comment