Wednesday 1 April 2020

Tadabbur 3 Qul

Teks & Gambar : Facebook Tadabbur Centre

Image may contain: 1 person, text





[NOTA KULIAH ONLINE]

3 Qul
Ust Mohd Nadzri Haji Mustakim
28 Mac 2020 (8.00 pagi - 8.30 pagi)

Video : https://www.facebook.com/TadabburCentre/videos/660899751390080/
________________________

RANGKAIAN 3 QUL

1. Rangkaian tiga surah yang terakhir di dalam al quran iaitu Surah al-ikhlas, Surah al-falaq dan Surah an-nas dikenali sebagai 3 Qul.

2. Secara asasnya, ketiga-tiga surah ini diturunkan bagi menjawab kepada persoalan bagi pernyataan di dalam ayat kelima , surah al-fatihah iaitu apakah bentuk penyembahan kepada Allah swt dan apa yang perlu ada di antara manusia dan penyembahan.

SURAH AL IKHLAS

3. Surah al-ikhlas dinamakan dengan “al-ikhlas” kerana ia merupakan menifestasi keikhlasan manusia kepada Allah swt. Apabila manusia tanam dalam diri bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa dan tidak mengharap selain dari Allah, maka akan timbul keikhlasan kepada Allah swt.

4. Di dalam ayat 1 surah al ikhlas, Allah swt memperkenalkan dirinya sebagai suatu entiti yang unik iaitu yang bersifat Maha Esa.

5. Perkataan as samad (الصَمَد) di dalam ayat 2 surah al ikhlas membawa erti tumpuan segala makhluk untuk memohon apa yang dikehendaki. Ia sekaligus menjawab kepada penyataan (إِيَّاكَ نَسْتَعِينُ) yang membawa maksud “ hanya kepadamu Ya-Allah kami meminta pertolongan”.

6. Di dalam ayat ketiga surah al ikhlas , Allah menjawab sangkaan atau pemikiran sebahagian manusia dengan menyamakan Tuhan dengan makhluk dengan menyatakan bahawa Allah tidak beranak dan diperanakan. Hal ini kerana ada manusia merasakan bahawa menjadi suatu kepelikan bahawa terdapat entiti yang tidak mempunyai sulur galur.

7. Sangkaan tersebut juga dijawab di dalam ayat 4 surah al-ikhlas dengan menyatakan bahawa Allah tidak sama dengan suatu apa pun.

SURAH AL-FALAQ

8. Al-falaq beerti waktu subuh iaitu waktu di mana sinaran Mentari berjaya menerobosi kegelapan malam.

9. Allah memulakan surah ini dengan perkataan a’uzu (أّعُوذ) yang membawa maksud aku berlindung. Perkataan awuz (العوذ) itu sendiri membawa pengertian sesuatu yang kecil atau lemah meminta perlindungan kepada sesuatu yang besar atau kuat.

10. Apabila kita menyebut a’uzu (أّعُوذ), emosi kita mengakui bahawa kita makhluk yang lemah dan memohon pertolongan.

11. Di dalam ayat-ayat seterusnya disebutkan mengenai perkara yang sebenarnya manusia tidak dapat lihat dan bayangkan. Ia juga tidak mempunyai penawar melainkan dengan kuasa Allah.

12. Di dalam ayat 1 surah al-falaq, manusia meminta perlindungan kepada Tuhan penguasa dan pengatur waktu fajar.

13. Dalam ayat 2 surah al-falaq, disebutkan perkara yang diminta oleh manusia agar dilindung daripada perkara itu iaitu (مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ) yang bermaksud “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan” . Perkataan sharr (شَرِّ) datang dalam bentuk kata nama am yang meluaskan kepada maksud “perlindungan dari seluruh kejahatan segala apa bentuk ciptaan Allah swt”.Sesungguhnya ciptaan Allah mempunyai dua sisi iaitu sisi baik dan sisi buruk.

14. Dalam ayat 3 surah al-falaq, disebutkan perkara yang diminta oleh manusia agar dilindung daripadanya ialah bahaya gelap apabila ia masuk. Hal ini kerana banyak kebejatan dan bahaya boleh berlaku apabila larut malam keran alasan tidak ada sesiapa melihat pada waktu malam.

15. Dalam ayat 4 surah al-falaq, disebutkan perkara yang diminta oleh manusia agar dilindung daripadanya ialah kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Menariknya bahawa perkataan naffathat (النَّفَّاثَاتِ) hadir di dalam bentuk feminin. Ia berkenaan dengan aktiviti-aktiviti pembomohan dan santau.

16. Oleh kerana ini dimulakan surah dengan perkataan a’uzu (أّعُوذ) disebabkan manusia tidak mampu mengelak dari kebejatandan kejahatan ini apabila ia telah mula berlaku.

17. Dalam ayat 5 surah al-falaq, disebutkan perkara yang diminta oleh manusia agar dilindung daripadanya ialah dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan kerja hasad. Di dalam ayat ini , Allah tidak menyebut nama sesiapa yang melakukan tetapi hanya disebutkan sifat pelaku itu sendiri.

18. Perkataan hasidin (حَاسِدٍ) datang dalam bentuk pelaku. Dan pelaku itu terkenal dengan sifat kelakuannya kerana kerap melakukannya. Dan penyakit hasad ini tiada ubat melainkan orang itu berusaha untuk menghilangkan sifat hasad.

19. Secara ringkasnya , disebutkan di dalam surah al falaq 4 keburukan yang manusia tidak tahu yang dipohon oleh manusia agar dijauhi dari keburukan tersebut.

SURAH AN-NAS

20. Surah ini dimulakan dengan tiga nama atau sifat Allah yang berkait rapat dengan manusia iaitu rabb, malik dan ilah ( رَبِّ النَّاسِ , مَلِكِ النَّاسِ , إِلَهِ النَّاسِ ). Perkataan rabb membawa erti pengatur, pendidik, pengasuh dan pengurus yang mengurus seluruh manusia. Adapun perkataan malik membawa erti pemilik dan perkataan ilah membawa erti Tuhan kepada manusia.

21. Terdapat ulama yang menyatakan bahawa tiga nama ini merupakan tiga peringkat kehidupan manusia iaitu :

a) Pada peringkat pertama, manusia ketika kecil dididik dan diasuh. Sebab itu ketika manusia kecil, mereka dikenalkan bahawa Allah adalah Tuhan yang mengurus dan mengasuh kita.
b) Pada peringkat kedua, ketika manusia meningkat dewasa mereka mempunyai pemilikan sendiri. Akan tetapi kekadang lupa bahawa pemilik asal bagi pemilikan mereka adalah Allah swt.
c) Pada peringkat ketiga , ketiga mana manusia meningkat usia , keinginan mereka mula kendur kepada dunia dan ingin kembali mencari Tuhan, maka Allah memperkenalkan dirinya sebagai Tuhan kepada manusia.

22. Pada 3 ayat terawal surah an – nas , disebutkan manusia meminta perlindungan kepada Allah swt di setiap fasa kehidupan mereka. Akan tetapi disebutkan di dalam 3 ayat terakhir surah ini perkara-perkara yang merujuk kepada satu kejahatan iaitu bisikan.

23. Di dalam ayat 5 surah an-nas, Allah menggunakan perkataan sudur (صُدُور) yang membawa erti dada. Ia menunujukkan bahawa bisikan itu berlaku terus masuk di dalam dada. Akan tetapi apabila bisikan itu dilakukan oleh al khannas (الْخَنَّاسِ) berulang kali, ia akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada qalb (قلب) iaitu hati lebih-lebih lagi apabila ia sedia terbuka. Sebab itu kita memohon 3 kali perlindungan kepada Allah dari bisikan ini.

24. Hikmah surah ini dijadikan sebagai penutup kepada al-quran agar manusia lihat kepada diri sendiri sebelum tidak menunding jari kepada orang lain dan menjawab kepada pernyataan ayat 5, surah al fatihah yang mengandungi unsur mohon bantuan dan pertolongan.

#stayathome
#tadabburalquran
#alquranuntuksemua

No comments:

Post a Comment

Manfaat Vitamin C Shaklee

  Vitamin C juga dikenali sebagai Asid Askorbik iaitu Vitamin yang larut air. Tubuh kita tidak mampu menghasilkan Vitamin C sendiri, jadi ki...